fbpx
Mahkamah Persekutuan - GAMBAR HIASAN

Bunuh adik lumpuh dan ibu saudara, Azman kekal dijel 35 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan terakhir seorang penganggur yang dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan atas kesalahan membunuh adik lelakinya yang lumpuh dan ibu saudara pada 2016.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sebulat suara menolak permohonan oleh Azman Wahab, 41.

“Rayuan perayu (Azman) ditolak. Oleh itu, hukuman penjara 35 tahun bagi dua sabitan dikekalkan begitu juga dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan,” kata Hakim Nordin.

Pada 25 Ogos 2022, Azman disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan (KK) dan dihukum penjara 16 tahun.

Bagaimanapun, pada 14 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas tuduhan bunuh di bawah Seksyen 302KK setelah mendapati ada merit dalam rayuan pendakwaan.

Terdahulu, peguam perayu, Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan memohon untuk mengemukakan bukti baharu iaitu laporan perubatan perayu, namun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin membantah kerana tiga laporan tersebut telah ditandakan bagi tujuan pengecaman dalam perbicaraan sebelum ini.

Azman disabitkan membunuh adiknya, Muhammad Azwan Wahab, 26, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling pada pukul 11 pagi, 2 Oktober 2016. Dia turut bersalah membunuh ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah pada 11.10 pagi, hari sama.

Menurut fakta kes, Azman memukul kepala adiknya yang lumpuh akibat kemalangan dengan batang pokok rambutan sebelum cuba memukul dengan batang besi. Lelaki itu kemudian pergi ke dapur mengambil pemarut kelapa dan memukul adiknya berulang kali.

Azman kemudian membaling seketul bata ke arah muka Rokiah dan apabila mangsa jatuh, dia mengambil semula objek itu dan membalingnya sekali lagi sehingga wanita tersebut tidak sedarkan diri.

Menurut laporan bedah siasat, kepala dan muka Muhammad Azwan hancur, manakala kecederaan Rokiah disifatkan seperti buah kelapa yang hampir terbelah dua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN