BUKIT KAYU HITAM – Seramai 40 pelajar dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang masih terkandas di Hatyai, Thailand dikatakan hanya makan bubur nasi berikutan bekalan beras yang semakin berkurangan.
Mereka juga terpaksa berkongsi bekalan makanan yang ada serta meneguk air kosong untuk mengisi perut.
Dalam keadaan genting itu, seorang pelajar yang merupakan pembawa talasemia dikatakan sudah kehabisan ubat dan suplemen.
Mereka terperangkap tanpa bekalan makanan mencukupi, selain ketiadaan bekalan elektrik dan liputan internet yang kerap terputus serta bergantung kepada air hujan untuk mandi.
Pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md. Suhaimi, 21, berkata, keadaan setakat ini terkawal, namun bekalan makanan sangat terhad.
“Hujan tidak berhenti dengan paras air semakin naik menyebabkan kami tak boleh keluar. Internet pun tidak stabil dan kami cuma berharap ada bantuan cepat,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada pihak UUM, malam tadi.
Menurutnya, semalam mereka melihat bot melalui kawasan itu dan berdoa agar pihak berkenaan singgah mengagihkan bantuan makanan.
“Sehingga maghrib dan semalam, kami hanya makan bubur nasi yang dicatukan. Tiada satu pun bot berhenti untuk menghulurkan makanan kepada kami,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menjalankan tugas Naib Canselor UUM berkata, pihak universiti sentiasa berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand.
“Keselamatan pelajar yang merupakan anak-anak kami adalah keutamaan. Universiti juga mewujudkan kumpulan WhatsApp dengan semua ibu bapa pelajar terlibat dan sentiasa mengemas kini maklumat,” katanya.
Kesemua pelajar dan pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berada di sana bagi mengikuti Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dari 20 hingga 22 November lalu. – KOSMO! ONLINE















