fbpx
Kamalludin (kiri) menunjukkan produk kacang yang menggunakan logo halal tak sah di kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Tupai, Taiping semalam. Foto IHSAN KPDN

Kilang kacang di Taiping guna logo halal tak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Sebuah kilang kacang di Kawasan Perindustrian Tupai di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada pukul 11.45 pagi semalam ekoran menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal) itu menyaksikan kilang tersebut membungkus aneka jenis produk kacang dan makanan ringan menggunakan logo tak sah tersebut.

“Melalui pemeriksaan yang dijalankan mendapati kilang ini beroperasi mengeluarkan produk jenis kacang tanah dan makanan ringan. Produk makanan ini juga dipercayai adalah untuk edaran jualan di seluruh Semenanjung Malaysia terutama di Perak.

“Pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir mendapati terdapat logo halal pada bungkusan produk kacang tersebut selain pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

“Sebanyak 22,700 unit kacang pelbagai cap dan berat yang tertera logo halal yang tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM31,720. Kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa pengesahan pihak berwibawa seperti Jakim,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN