PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera berhubung tuduhan yang dilemparkan.
“Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau. Berhubung tuduhan yang timbul, saya tegaskan SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa campur tangan luar,” katanya hari ini.
Jelas Anwar, Kerajaan Madani kekal teguh dengan prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.
Semalam Kosmo! melaporkan, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan mendakwa terdapat cubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani. – KOSMO! ONLINE















