TANAH MERAH – Hajat seorang wanita untuk menghantar ibunya ke rumah saudara-mara selepas rumahnya dinaiki air tidak kesampaian apabila kereta dinaiki mereka terjerlus ke dalam lubang sebelum dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Siti Gayah Zakaria, 70, lemas selepas dihanyutkan ke arah anak Sungai Batu 5, manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, selamat setelah bertarung nyawa ketika cuba menyelamat ibunya.
Katanya, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan ibunya meskipun sudah berjaya membuka pintu selepas kereta Proton Saga FLX dipandunya hanyut.
“Saya cuba tarik tangan ibu banyak kali sehingga kehabisan tenaga dan hanya dapat selamatkan diri sendiri. Ketika itu saya sudah penat dan hanya mampu meminta bantuan penduduk untuk mencari ibu yang lemas.
“Anggota bomba menjumpai jasad ibu saya pada pukul 7.49 pagi tadi. Kereta saya yang hanyut pula dijumpai tersangkut pada pembetung air di anak sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, enam anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat selepas pihaknya menerima panggilan pukul 4.13 pagi. Jasad warga emas itu ditemukan pukul 7.49 pagi sebelum diserahkan kepada polis.
Katanya, kematian Siti Gayah merupakan kes lemas kedua di Kelantan pada musim tengkujuh ini selepas kejadian wanita Indonesia dihanyutkan kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE















