SHAH ALAM – Pengasas eHati yang disiasat pihak berkuasa agama pada Julai lalu selepas mencetuskan kontroversi menerusi program motivasi rumah tangga bakal berdepan empat pertuduhan termasuk kesalahan doktrin palsu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor dan pertuduhan dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini hari ini.
Katanya, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1955 iaitu kesalahan doktrin palsu, Seksyen 8 (dakwaan palsu), Seksyen 10 (menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll, agama Islam) dan Seksyen 16 (penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak).
“Seramai lapan individu akan didakwa termasuk pengasas eHati,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Mohd. Shahzihan berkata, siasatan mendapati program motivasi rumah tangga yang menyasarkan kaum wanita itu dipercayai melakukan perbuatan yang bertentangan dan melanggar hukum syarak.
Menurut beliau, bagi mengelak kejadian sama berulang, pihaknya sedang menyusun garis panduan berkaitan program keagamaan dan kerohanian sebagai rujukan semua peringkat termasuk di institusi pendidikan.
“Program keagamaan dan kerohanian di asrama sekolah pun ada. Itupun kita akan susun (garis panduan). Contohnya di asrama jika mahu anjur program mereka (penganjur) mesti bentangkan modul. Penceramahnya mestilah yang mempunyai tauliah.
“Tentatif program juga akan disemak terlebih dahulu sebelum ia diluluskan,” katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, antara perkara yang ditekankan bagi program keagamaan dan kerohanian adalah aspek pematuhan titah Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mematuhi arahan pihak berkuasa agama, pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia.
“Yang kedua bila sebut program keagamaan kita mesti tentukan waktunya, tentatif, penganjur dan penceramah, selain aspek lokasi,” katanya.
Tegasnya, mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana menghina kuasa yang sah atau mempertikaikan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Selain itu, katanya, garis panduan itu kelak akan turut menekankan had ceramah di rumah atau keluarga yang hanya boleh dibuat oleh ketua atau ahli keluarga terdekat.
“Program keagamaan dan kerohanian tidak boleh dijalankan pada waktu tidak wajar seperti pukul 2 atau 3 pagi atas alasan keluarga. Di situlah punca penularan salah faham,” katanya memaklumkan garis panduan itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya tahun hadapan.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan penganjuran eHati di Shah Alam pada September tahun lalu mencetuskan kontroversi hangat kerana didakwa mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak.














