BINTANG hoki berpengalaman negara, Faizal Saari masih belum menunjukkan tanda penurunan prestasi apabila terus mempamerkan aksi berbisa ketika membantu pasukan hoki kebangsaan menewaskan Kanada 3-2 pada Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Faizal yang kembali daripada persaraan buat kali kedua meledak satu gol, manakala dua lagi dijaringkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Penyerang berusia 34 tahun itu turut mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Kanada apabila banyak melakukan gerakan bagi membantu Speedy Tigers merobek pintu gol lawan.
Kemenangan itu terus menghidupkan peluang pasukan negara melangkah ke separuh akhir apabila menghuni tangga kedua dengan empat mata selepas seri 2-2 menentang New Zealand pada aksi pembukaan.
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh menyuarakan rasa puas hati dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya selain memuji benteng pertahanan yang kebal menahan asakan jentera serangan Kanada.
“Secara keseluruhan, saya berpuat hati dengan usaha serta disiplin yang ditunjukkan semua pemain dalam usaha mendapatkan kemenangan pertama buat pasukan negara. Kita juga menjaringkan satu gol daripada tiga pukulan sudut penalti (PC),” katanya.
Hari ini, Speedy Tigers sekali lagi berdepan cabaran sukar apabila dijadualkan bertemu pasukan No. 7 dunia, India bagi terus menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir.
Sarjit menggesa supaya pemain-pemain mencipta lebih banyak peluang selain menampilkan aksi lebih tajam di depan gol sekiranya memasang hasrat untuk membenam cabaran India.
“Kita perlu mengawal permainan, mencipta peluang serta melakukan penyudah yang lebih baik jika mahu mencatat keputusan terbaik dengan India. Ia akan menjadi satu perlawanan sukar tetapi kita ada kemampuan untuk menang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















