KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Russia didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah membuat rakaman dalam panggung wayang, dua minggu lalu.
Tertuduh, Golod Artem, 21, yang juga pelajar sebuah universiti swasta, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam sebahagian tayangan filem “Now You See Me 3” di sebuah premis milik TGV pada pukul 2.30 petang, 13 November lalu di Pawagam TGV Pavilion 2, Bukit Jalil, di sini,.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 43A(1) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, peguam bela, Kanesan Subrananiam memohon supaya denda diringankan dengan alasan rakaman tersebut dibuat untuk tujuan peribadi dan bukan bagi tujuan komersial.
“Tertuduh masih muda dan kedua-dua ibu bapanya sangat bimbang sekiranya dia dikenakan denda yang terlalu tinggi. Sejak ditahan reman pada 13 November lalu, tertuduh juga tidak dapat menghadiri kelasnya seperti biasa di universiti,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir memohon hukuman setimpal dengan menegaskan kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.
“Tertuduh sedar bahawa merakam dalam pawagam adalah satu kesalahan. Sebagai warga asing, dia seharusnya menghormati undang-undang negara ini,” katanya.
Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, Izralizam menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal bayar denda.
Hakim itu turut menasihati tertuduh agar belajar dari kesilapan dan lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pengurus pawagam telah menerima laporan mengenai satu rakaman filem secara haram sedang berlaku di salah sebuah panggung wayang di TGV Pavilion 2, 13 November lalu.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu mendapati tertuduh merupakan individu yang sama pernah melakukan perbuatan serupa pada 9 Oktober lalu.
Pada hari kejadian, pengadu melihat tertuduh berada di dalam pawagam sebelum mengeluarkan telefon bimbit dan memulakan rakaman ketika filem “Now You See Me 3” sedang ditayangkan.
Selepas melakukan pemantauan selama kira-kira 45 minit, pengadu masuk ke dalam dewan dan berdiri di belakang tertuduh bagi mengesahkan perbuatan tersebut.
Setelah yakin tertuduh sedang merakam, pengadu memperkenalkan dirinya sebagai pengurus pawagam sebelum membawa tertuduh ke ruang lain untuk pemeriksaan.
Pemeriksaan itu menemukan satu rakaman video berdurasi 31 minit dalam galeri telefon bimbit tertuduh.
Rakaman tersebut mengandungi sebahagian babak filem “Now You See Me 3” yang sedang ditayangkan dalam sesi tayangan perdana pada hari kejadian. – KOSMO! ONLINE















