KANGAR – Seramai 393 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini sejak kelmarin.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, situasi itu membabitkan 12 rumah calon dimasuki air, 243 calon di pusat peperiksaan terjejas, manakala 138 calon berdepan gangguan akses ke pusat peperiksaan.
“Lima pusat peperiksaan turut terjejas banjir iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Sekolah Menengah Agama Al-Maad, SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Agama Arau dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.
“Kami turut mengaktifkan pusat alternatif di tingkat atas sekolah terlibat dan memindahkan pusat peperiksaan SMK Dato’ Sheikh Ahmad ke Kolej Matrikulasi Perlis,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tiga buah lori tiga tan diatur gerak bagi membawa kertas peperiksaan, petugas dan calon ke pusat peperiksaan yang sukar diakses.
Katanya lagi, seramai 3,754 calon bakal menduduki SPM di 36 pusat peperiksaan seluruh negeri.
“Jumlah itu merangkumi 3,288 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















