LUMUT – Beberapa kawasan perumahan di sekitar Sitiawan dan Seri Manjung di sini dinaiki air buat kali pertama dengan kejadian tersebut mengejutkan penduduk terlibat.
Bahkan, ada kawasan yang telah didiami penduduk sejak lebih 50 tahun dinaiki air buat kali pertama sehingga menyebabkan warganya panik dan tidak sempat berbuat apa-apa.
Muhamad Solehin Nazri, 35, berkata, dia yang telah menetap di Kampung Tersusun Kg. Sitiawan di sini sejak dilahirkan tidak pernah berhadapan dengan banjir di kawasan berkenaan.
Katanya, banjir yang berlaku tersebut memang mengejutkan kerana ketika ia berlaku pada Sabtu lalu, mereka tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah dan mengalihkan kenderaan.
“Banjir ini berlaku dalam sekelip mata dan kami memang tak jangka ia berlaku kerana kawasan rumah sebelum ini tidak pernah dinaiki air. Dalam masa tak sampai sejam air naik paras pinggang.
“Ibu, Saadiah Salleh, 58, dan ayah, Nazri Jusoh, 64, yang telah menetap di sini sejak 55 tahun lalu sendiri mengakui banjir tak pernah berlaku di kawasan tersebut. Memang kedua-duanya berasa terkejut dengan kejadian ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk Taman Warisan Batu 8, Lekir di Sitiawan, Nor Aishah Mohamed Naziri, 42, dia yang telah menetap di kawasan perumahan berkenaan sejak 11 tahun lalu tidak pernah berhadapan dengan bencana tersebut.
“Apabila kali pertama berhadapan dengan banjir di rumah sendiri, memang rasa panik pada mulanya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mampu mengawal perasaan dan mempersiapkan diri serta ahli keluarga bagi menghadapinya.
“Air mula naik dalam tempoh enam jam setinggi betis. Kami mengemas dan menyimpan barangan berharga seperti sijil kelahiran, dokumen-dokumen pejabat malah kenderaan dibawa ke tempat lain bagi mengelak kerosakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















