PETALING JAYA – Mangsa banjir terus meningkat apabila merekodkan seramai 20,357 orang daripada 6,826 keluarga di lapan negeri setakat pukul 12 tengah hari ini.
Kesemua mangsa ditempatkan di 125 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Menerusi laman Web Agensi Pengurusan Bencana Negara tengah hari ini, antara negeri yang terjejas adalah Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.
“Jumlah mangsa tertinggi direkodkan di Kelantan apabila 40 PPS dibuka yang menempatkan 9,837 mangsa daripada 3,599 keluarga di Tumpat, Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh.
“Di Perak, sebanyak 33 PPS dibuka melibatkan mangsa seramai 2,821 orang daripada 890 keluarga di Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim,” katanya.
Di Perlis, 16 PPS dibuka dan 3,241 mangsa daripada 953 keluarga ditempatkan di PPS, manakala Selangor, jumlah mangsa terjejas seramai 2,430 orang daripada 749 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS.
Di Kedah pula, seramai 1,640 mangsa berada di 11 PPS di Kulim dan Kubang Pasu.
“Di Pulau Pinang, tiga PPS dibuka di Seberang Perai Tengah dan Sebarang Perai Utara yang menempatkan 297 mangsa daripada 78 keluarga.
“Sementara itu, Terengganu merekodkan 68 mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS di Besut, manakala Pahang pula, 23 mangsa yang berada di sebuah PPS di Raub,” ujarnya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya (merah) di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu hingga esok.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan tahap buruk dijangka berlaku di beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, hujan berterusan tahap waspada hari ini diramal berlaku di sebahagian kawasan di Perak dan Pahang sehingga esok. – KOSMO! ONLINE














