FITNESS BENDERS direka untuk menjadikan senaman lebih mudah, selamat dan boleh dilakukan di mana sahaja sama ada pejabat, rumah, gimnasium atau di dalam air.

Penyelidik UPNM cipta Fitness Benders untuk gaya hidup sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam era moden yang serba sibuk, ramai individu terperangkap dalam gaya hidup sedentari seperti duduk terlalu lama di pejabat, kurang bersenam dan berisiko terhadap pelbagai penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease).

Menyedari cabaran ini, sekumpulan penyelidik dikenali sebagai Fitness Benders yang terdiri daripada Ketua Penyelidik, Dr. Noor Hamzani Farizan dan Dr. Nur Athirah Abd. Rahman, bersama empat pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan (AKP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tampil memperkenalkan satu inovasi tempatan baharu iaitu KINEMOVE by Fitness Benders – Smart Resistance Band Training with QR E-module & Kinematic Analysis.

Menurut Noor Hamzani, gaya hidup tidak aktif semakin meningkat di Malaysia dan ramai orang sukar mencari masa atau tempat sesuai untuk bersenam, manakala kemudahan kecergasan pula tidak begitu mudah dicapai.

“Peralatan senaman konvensional biasanya besar, mahal atau memerlukan bimbingan pakar.

“Fitness Benders direka untuk menjadikan senaman lebih mudah, selamat dan boleh dilakukan di mana sahaja sama ada di pejabat, rumah, gimnasium atau di dalam air.

“Ia menggabungkan smart resistance band dengan kod QR interaktif yang memberi akses kepada modul video latihan digital berasaskan biomekanik,” katanya.

Terdahulu, inovasi produk tersebut dipamerkan pada Festival of Ideas (FOI) 2025 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini.

TIMBALAN Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian (tengah) memberikan sijil pengiktirafan kepada Noor Hamzani (kanan) ketika FOI 2025 di PICC, Putrajaya baru-baru ini.

Tambahnya, dengan hanya mengimbas kod QR, pengguna akan mendapat panduan senaman lengkap termasuk pemanasan, regangan, latihan kekuatan dan tunjuk ajar visual untuk memastikan postur serta teknik yang betul.

Menurut Noor Hamzani, kajian dan ujian pengguna menunjukkan peningkatan tahap kefahaman terhadap teknik senaman yang betul serta pengurangan risiko kecederaan.

“Latihan berasaskan analisis kinematik ini turut membantu pengguna meningkatkan kekuatan otot, fleksibiliti dan keseimbangan secara progresif.

“Fitness Benders memberi alternatif baharu kepada gaya hidup sihat. Ia menjadikan kecergasan lebih mudah, menyeronokkan dan inklusif untuk semua golongan daripada pelajar, kakitangan pejabat, atlet hinggalah warga emas.

“Dengan harga serendah RM27.90 dan modul e-pembelajaran yang boleh diakses bila-bila masa, inovasi ini berpotensi mengubah budaya kesihatan masyarakat Malaysia,” katanya.

Ujarnya lagi, produk itu juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan(SDG 3): Kesihatan dan Kesejahteraan Baik serta membuka peluang kolaborasi bersama institusi pertahanan, pusat rehabilitasi dan organisasi korporat.

“Kami mahu mengubah persepsi bahawa kecergasan bukan hanya boleh dilakukan di gimnasium.

“Dengan adanya Fitness Benders, semua orang boleh mula gaya hidup sihat di mana pun mereka berada dan pada bila-bila masa tanpa alasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN