LIVERPOOL – Aksi di laman sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya Liverpool apabila tewas mengejut 0-3 kepada pasukan bergelut, Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan The Reds semakin dirundung malang apabila jatuh ke tangga ke-11 liga selain meletakkan pengurus, Arne Slot dalam keadaan bahaya apabila penyokong mula mendesak agar beliau dipecat.
Desakan penyokong-penyokong The Reds ada asasnya memandangkan mereka turun dengan status sebagai juara bertahan EPL, namun mencatat kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir.
Slot berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut memandangkan ada melakukan beberapa perubahan taktikal sepanjang perlawanan berlangsung, namun tidak berhasil.
“Satu lagi kekecewaan yang cukup besar untuk pasukan kerana kami bermula baik dalam tempoh 30 minit pertama. Selepas gol pertama pasukan lawan, kami seolah-olah gagal untuk mengekalkan rentak tersebut.
“Apa sahaja situasi yang berlaku, sama ada baik ataupun buruk, itu adalah tanggungjawab saya. Memang saya cuba melakukan perubahan taktikal tetapi ia tidak menjadi kerana kami gagal menjaringkan gol,” katanya.
Pada perlawanan itu, Forest menjaringkan gol menerusi Murillo, Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White, sekali gus membawa pasukan tersebut keluar dari zon penyingkiran.
“Memang kekalahan ini memberi kesan kepada kami. Dalam beberapa hari lagi kami akan bermain dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), jadi pemain-pemain tidak boleh hilang tumpuan,” ujar Slot. – AGENSI















