fbpx
Anwar ketika di Sidang Kemuncak G20.

Malaysia cipta kerjasama global pastikan ketahanan, keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia komited untuk mencipta kerjasama di peringkat global atau serantau dalam memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya, dan ia mencakup dari Sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) hingga kepada rangkaian tenaga serantau.

Beliau berkata, itu merupakan jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan

“Berada di pentas G20 semalam mengingatkan saya betapa dunia sedang bergerak pantas sambil mengendong dan menghadapkan kita dengan badai rempuhan tantangan dan juga harapan.

“Di Johannesburg, Afrikan Selatan ketika semua negara hadir membicarakan tentang masa depan iklim, keterjaminan makanan dan peralihan tenaga, saya lontarkan bahawa suara rantau kita yang sekian lama dirundung risiko bencana dan tekanan malapetaka iklim mesti menjadi diambilkira dan mesti menjadi sebahagian daripada halatuju global,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.

Anwar berkata, pengalaman ASEAN telah menjadi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan.

“Di ruang bicara yang sangat bertenaga itu, saya mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual, yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut.

“Dalam hal ini, kita mesti jujur, pragmatik dan berani. Dan di ruang tingkat tinggi ini juga saya mengulangi bahawa pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia dikesampingkan,” katanya.

Katanya, dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dukungan yang menyentuh nasib petani kecil, dan rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh nun di belakang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI