VALENCIA – Bekas juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo percaya musim suram Jorge Martin bersama Aprilia banyak dipengaruhi faktor mental selepas pelumba Sepanyol itu dihimpit siri kecederaan sepanjang kempen 2025.
Lorenzo, tiga kali juara dunia MotoGP, mengakui apa yang berlaku kepada Martin dalam tempoh setahun ini terlalu ekstrem dan memberi impak besar terhadap keyakinannya di atas jentera.
“Jorge (Martin) memang sangat malang dengan kecederaan bertimpa-timpa. Saya rasa dia sudah hampir 30 tulangnya patah sepanjang insiden yang berlaku dan jumlah itu terlalu banyak untuk seorang pelumba.
“Setiap kali berlaku kecederaan, mental anda semakin terbeban. Bila trek basah atau berbahaya, otak mahu laju, tetapi tangan tak benarkan. Pelumba muda yang tak pernah cedera tidak ada rasa takut itu,” kata Lorenzo.
Menurut Lorenzo lagi, ada dua perkara utama yang diperlukan Martin untuk kembali bangkit seperti musim lalu.
“Dia perlukan lebih banyak kilometer dan dia perlu kembali benar-benar cergas seperti pelumba lain yang tidak cedera. Gabungan itu penting untuk kembalikan tahap sebenarnya,” tegasnya.
Martin sempat beraksi di Grand Prix (GP) Valencia, namun menarik diri pada pertengahan perlumbaan bagi menjimatkan tenaga untuk ujian Selasa lalu, di mana dia menguji pakej aerodinamik baharu serta casis Aprilia yang dianggap memberi peningkatan lebih signifikan. – AGENSI















