SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyelesaikan sebanyak 6,881 kes Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bermula Januari hingga 14 November lalu.
Menterinya , Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelbagai aduan termasuk penipuan pembelian kereta, barangan elektrik serta gajet.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 9,203 kes difailkan dalam tempoh sama yang melibatkan nilai tuntutan berjumlah RM77.2 juta.
“Ada juga kes penipuan kes umrah dan haji yang berjaya diselesaikan. Jadi, tribunal ini bukan sahaja menyelesaikan kes berkaitan pembelian sahaja,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Tengah tahun 2025 di Dataran Shah Alam, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Armizan turut melancarkan aplikasi ez-TTPM, yang memberi kemudahan kepada pengguna termasuk memfailkan tuntutan, memuat naik dokumen sokongan serta membuat semakan status kes tanpa perlu hadir ke pejabat tribunal.
“Ia lebih cepat dan mudah. Semua proses boleh dilakukan dalam satu aplikasi. Saya menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE















