KUALA LUMPUR – Cuti hujung minggu dan tawaran tiket percuma menyaksikan golongan ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak ‘bersiar-siar’ di Zoo Negara hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai mula mengunjungi pusat tumpuan itu seawal pukul 8 pagi.
Seorang eksekutif yang ingin dikenali sebagai Liyana, 32, berkata, kunjungan pada hari ini ibarat rezeki datang bergolek apabila dapat saya dan tiga anak dapat masuk secara percuma hari ini.
Katanya, lebih menarik apabila Zoo Negara menyediakan pelbagai acara sempena Hari Kanak-Kanak.
“Saya datang nak tebus tiket hari lahir, dan alang-alang ada tiket percuma untuk kanak-kanak, jadi saya bawa keluarga.
“Saya pun sebenarnya berharap dapat tengok panda baharu yang viral di media sosial, tapi kalau tak ada pun tak apa. Panda sebelum ni pun sempat saya jumpa Januari lalu sebelum dihantar balik,” katanya.
Suri rumah, Farah Nurain Zulkifli, 29, pula berkata kunjungannya hari ini adalah untuk memberi peluang anak-anak berseronok dengan aktiviti Hari Kanak-Kanak.
“Hari ni seronok sebab ada banyak permainan. Sebelum ni kalau datang hanya tengok-tengok haiwan saja. Ini pun saya bawa kawan yang tengah mengandung juga sebab nak tengok panda. Kalau tak dapat tengok panda pun tak apa, yang penting anak-anak gembira,” jelasnya.
Mohammad Haqkam Zakaria, 40, seorang juruteknik, berkongsi cabaran membawa anak kecil di tengah suasana yang sesak.
“Suasana agak sesak sebab saya bawa anak kecil dengan ‘stroller’, jadi kena berhimpit sikit untuk bergerak. Tapi anak-anak tetap seronok dan itu yang paling penting,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Malaysian Zoological Society, Datuk Rosly Lana, berkata, sambutan itu bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk mendidik generasi muda menghargai alam sekitar dan hidupan liar.
“Kanak-kanak adalah generasi masa depan. Melalui pengalaman sebenar berinteraksi dengan alam, mereka bukan sahaja belajar, tetapi membina nilai tanggungjawab terhadap hidupan liar,” ujarnya.
Zoo Negara turut menyediakan hadiah menarik termasuk buku cerita, poster haiwan, baucar zoo, aiskrim serta barangan permainan untuk pengunjung.
Tiket masuk percuma diberikan kepada kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun, sekali gus memastikan lebih ramai keluarga dapat menikmati pengalaman menyeronokkan sambil menimba ilmu tentang alam sekitar dan hidupan liar. – KOSMO! ONLINE















