KOTA TINGGI – Seorang lelaki rentung selepas lori dipandu terbakar dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai di sini petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai R. Sasitharan, 38, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah akibat terbakar.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 4.35 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.
“Mangsa yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses siasatan lanjut.
Menurutnya, pihak polis mengesahkan bahawa tiada kenderaan lain yang terlibat dalam nahas tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE














