KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan dijangka membentang garis panduan berkaitan aktiviti mendulang emas kepada penduduk negeri ini semasa Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, dua minggu lagi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, Pejabat Tanah dan Gajian (PTG) Kelantan ketika ini dalam proses menyiapkan garisan panduan tersebut sebelum diumumkan kepada rakyat.
Katanya, tindakan itu bukan untuk menyusahkan rakyat, namun bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan keadaan terkawal.
“Saya tidak lagi umumkan syarat yang akan dimasukkan dalam garis panduan mendulang emas. Kita bimbang akan wujud percanggahan jika apa yang saya umumkan itu tidak tepat dengan syarat-syarat telah ditetapkan.
“Kerajaan negeri mahu aktiviti dikawal selia supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan pam mudah alih untuk mendapatkan hasil. Keadah itu sudah dikira industri, jadi kita tidak benarkan. Jika dalam bentuk industri, mereka perlu mohon lesen melombong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, ada pihak yang tersalah tafsir kenyataan sehingga mengatakan kerajaan negeri menggunakan pendekatan umum dahulu, baru kaji.
“Sebelum ini, saya sebut kerajaan negeri bercadang dan akan membuat syarat. Jadi, kita belum laksanakan lagi. Kita sedang meneliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Exco yang akan datang,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri juga bercadang menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai produk pelancongan baharu di Kelantan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan sedang menyiapkan draf mengenai syarat-syarat aktiviti mendulang emas selepas pihaknya membenarkan rakyat menjalankan kegiatan tersebut secara sah baru-baru ini.
Mohamad Fadzli berkata, pihaknya turut mengambil kira kawasan yang telah diberikan kepada pihak syarikat untuk tujuan perlombongan sekali gus mengelakkan berlaku pertindihan lokasi mendulang emas. – KOSMO! ONLINE















