KAHERAH – Skuad bola sepak Mesir dikatakan sedia untuk meminta Liverpool supaya melepaskan pemain sayap, Mohamed Salah lebih awal bagi melakukan persediaan menghadapi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Maghribi bulan depan.
Bintang The Reds itu akan mengetuai Mesir menjelang kejohanan yang dijadualkan bermula 21 Disember nanti dengan juara tujuh kali itu akan bermain dalam aksi pembukaan menentang Zimbabwe sehari kemudian.
Pengarah Bola Sepak Mesir, Ibrahim Hassan mengesahkan pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan Liverpool supaya Salah dilepaskan lebih awal, begitu juga dengan Manchester City untuk Omar Marmoush.
“Kami sedang berhubung dengan Liverpool dan Manchester City berhubung perkara ini. Sekiranya boleh, memang kami mahukan kedua-dua pemain ini menyertai skuad kebangsaan lebih awal untuk AFCON.
“Ia bagi membolehkan mereka melakukan persediaan rapi bersama rakan sepasukan yang lain. Selain itu, kehadiran mereka berdua mampu untuk menaikkan semangat seluruh pasukan,” katanya.
Sekiranya Mesir dapat melangkah ke perlawanan akhir 18 Januari nanti, Liverpool mungkin tidak dapat menggunakan khidmat Salah untuk beberapa perlawanan, termasuk aksi penting bertemu Arsenal pada 9 Januari.
Sementara itu, dia juga dijangka tidak akan beraksi menentang Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memandangkan Mesir bakal bertemu Nigeria untuk aksi persahabatan 9 Disember nanti. – AGENSI















