PORTO – Portugal memilih jalan yang cukup sempurna bagi memastikan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 selepas membelasah Armenia 9-1 pada aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Dunia, kelmarin.
Bruno Fernandes dan Joao Neves menjadi pemain paling menyinar apabila kedua-duanya merakam hatrik sekali gus membuktikan Portugal tidak terlalu bergantung kepada sumbangan Cristiano Ronaldo yang digantung ekoran layangan kad merah.
Kejayaan ini memastikan Portugal membuay penampilan ketujuh berturut-turut di pentas Piala Dunia.
“Kami sentiasa mahukan kemenangan dengan cara cukup menyakinkan dan mengawal permainan. Ia bukan selalu boleh dilakukan, namun kali ini kami cukup efektif untuk mencapai kejayaan,” kata Fernandes.
Tiga lagi gol berjaya dihasilkan Renato Veiga, Goncalo dan Francisco Conceicao turut merakam nama selaku penjaring gol buat Portugal, manakala jaringan tunggal Armenia dijaringkan Eduard Spertsyan.
“Sekarang kami sudah boleh bermimpi tentang Piala Dunia. Saya cukup gembira dengan reaksi ditunjukkan oleh pemain selepas kami alami kekalahan kepada Ireland,” kata Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martínez.
Ronaldo yang berkemungkinan digantung lebih daripada satu perlawanan turut meraikan kejayaan skuad The Selecao dengan memuat naik ciapan “Kami berada di Piala Dunia, ayuh Portugal,” katanya menerusi platform X. – AGENSI














