MENYAMBUT baik fenomena kumpulan M-pop lelaki, Alpha yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat menerusi lagu P Ramlee Saloma, Dolla menyifatkannya sebagai satu perkembangan sihat buat industri seni tanah air. Dolla yang kini dianggotai Sabronzo, Angel dan Tabby berkata, membawa nama Malaysia merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh rasa bangga.
“Tolonglah sokong artis baharu agar orang kenal bakat dari negara kita. Macam baru-baru ini, kami ke Jakarta (Indonesia), tak sangka ada peminat dari sana mengikuti perkembangan karier Dolla sejak awal kemunculan.
“Ada (peminat Indonesia) datang ke Malaysia hanya kerana nak tengok kami buat persembahan di sini. Rasa seronok apabila peminat luar datang ke Malaysia untuk tengok konsert kami,” kata Angel.

Beban
Ditanya sama ada pernah rasa terbeban membawa nama Malaysia, jawab Angel, mereka sentiasa berusaha keras dalam memastikan muzik yang diperjuangkan diterima ramai, bukan hanya bersifat domestik.
“Tak rasa terbeban, namun apa yang kami dapat sekarang adalah penanda bahawa usaha itu patut diteruskan. Sebagai seorang artis dan pemuzik, apa yang kita bawa ke luar negara penting untuk Malaysia.
“Pada masa sama, kami amat bersyukur sebagai artis wanita dapat ke luar negara mempromosikan muzik ke mata dunia,” jelas Tabby.
Mengalihkan fokus perbualan terhadap perkembangan peribadi Sabronzo, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia gembira menikmati kehidupan sebagai seorang isteri.
Katanya, banyak perkara baharu yang dipelajarinya selepas bergelar isteri kepada deejay terkenal, Ryan Fieret.

‘Nasi lemak’ Sabronzo
Menurutnya lagi, Ryan kini berusaha mendalami agama Islam dan pada masa sama, dia sebagai isteri bertanggungjawab membimbing suami ke arah tersebut.
“Setakat ini semuanya okey sahaja. Saya tidak mahu terlalu memaksa, (Ryan) biarlah dia belajar agama one step at a time (perlahan-lahan). Saya sendiri tak nak memaksa sesiapa pun.
“Agama kita disorot sebagai religion of peace (agama keamanan). Penting bagi saya tahu bagaimana untuk mengendalikan saudara baharu,” kata Sabronzo.
Diusik pertanyaan juadah air tangan yang menjadi kegemaran suami, jawab Sabronzo: “Suami saya sangat menggemari masakan Malaysia. Dia suka berkunjung ke restoran mamak (ketawa). Kalau tanya masakan saya yang dia suka, jawapan saya nasi lemak. Saya sendiri dalam usaha mahirkan diri ‘sempurnakan’ juadah nasi lemak saya,” katanya.

Question
Terbaharu, Dolla hadir dengan single baharu berjudul Question yang dengan mudahnya menangkap perhatian dan melekat di telinga peminat.
Lagu berkenaan membawa maksud yang lebih mendalam iaitu menggambarkan proses berhadapan dengan kesakitan dan kelemahan diri selepas dikecewakan insan yang dicintai.
“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada dasarnya, tentang berdepan dengan perasaan sendiri. Ia mengenai membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi sendiri tanpa menyembunyikannya,” kata Tabby.
Ditulis bersama Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun serta Dolla sendiri, Question menampilkan gabungan bertenaga antara penceritaan lirik yang kuat dan melodi yang mudah diingati sekali gus memperlihatkan kematangan seni kumpulan itu yang semakin berkembang.
“Kami menerima demo luar biasa daripada Kuizz dan Justin dengan korus yang sangat ‘catchy’. Kami memang mencari sesuatu yang lebih lirik dan mudah dikaitkan kali ini.
“Kami telah mengubah suai beberapa bahagian instrumental dan beberapa lirik untuk memastikan emosi benar-benar menyerlah. Bekerja dengan mereka di studio memang menyeronokkan, keseluruhan prosesnya sangat mengujakan,” jelas Tabby lagi.
Question mengekalkan bunyi pop khas Dolla dengan kedalaman emosi yang segar, menggabungkan melodi serta naratif yang memberi inspirasi tentang mendapatkan semula kekuatan selepas patah hati.
Menambahkan impak single ini ialah tarian koreografi bertenaga yang menyerlahkan semangat berani dan ceria lagu tersebut.
“Koreografi untuk Question terbentuk dengan cara yang sangat mengujakan. Kami berpeluang bekerjasama dengan Akkaraphol Prompen, seorang koreografer berbakat dari Thailand yang membawa perspektif baharu kepada rutin ini.
Selepas pelancaran Question, Dolla kini bersiap sedia untuk agenda 2026 yang lebih besar dan bermakna. Perancangan kami untuk 2026 adalah melancarkan album baharu serta mengembangkan jalur karier kami ke seluruh Asia Tenggara.
Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia dan masa sama mengukuhkan hubungan baik dengan peminat setia di sini,” kata Angel.
















