GASPERICH – Jerman terus menghidupkan peluang untuk mara ke Piala Dunia 2026 secara automatik selepas menang 2-0 ke atas Luxembourg pada aksi kelayakan Kumpulan A di Stadium Luxembourg awal pagi semalam.
Bagaimanapun, mereka tidak berdepan laluan mudah apabila terpaksa menunggu sehingga ke separuh masa kedua bagi menghasilkan dua jaringan menerusi penyerang Newcastle United, Nick Woltemade.
Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann mengakui lega dengan kemenangan tersebut memandangkan mereka hanya memiliki kelebihan jaringan ke atas pasukan tangga kedua, Slovakia yang turut mengumpul 12 mata.
“Apa yang paling penting adalah kami berjaya meraih tiga mata. Bola sepak merupakan sukan yang sangat mementingkan keputusan perlawanan, tetapi secara jujur, kami tidak memulakan permainan dengan baik.
“Kami mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkan rentak selain memberi peluang kepada Luxembourg melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol. Bagaimanapun, kami memperbaiki permainan dan menjaringkan dua gol,” katanya.
Kemenangan itu dianggap cukup penting buat skuad Die Mannschaft memandangkan selepas ini mereka akan membuat perhitungan dengan Slovakia bagi menentukan pasukan mana bakal layak secara automatik.
Sementara itu, Woltemade menyuarakan rasa puas hati dapat menyumbang gol kemenangan buat pasukan tersebut, sekali gus meneruskan rentak cemerlang bersama Jerman apabila sudah meledak tiga gol dalam dua perlawanan.
“Memang kami bermain kurang baik di separuh masa pertama, terutamanya memberikan ruang buat pasukan lawan menyerang. Kemudian, kami bangkit di separuh masa kedua dan berjaya mendapat tiga mata,” ujarnya. – AGENSI















