fbpx
RIZAL menunjukkan hasil tanaman bendi yang diusahakannya sehingga mampu mencecah pendapatan kasar lima angka sebulan.

Dahulu konsultan kini petani moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang bekas konsultan mekanikal dan elektrikal beralih ke bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman bendi seluas 1.6 hektar di Lahat, di sini sejak tiga tahun lalu.

Menurut Rizal Noorhan, 53, biarpun meninggalkan pendapatan lumayan untuk bergelumang de­ngan dunia pekerjaan yang dianggap ramai sebagai sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), kerjaya itu mempunyai aura tersendiri yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Boleh kata, setiap hari mesti kena kerjakan dan cium bau tanah kerana ada keseronokan tersendiri. Pada mulanya saya bermula de­ngan modal sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.

“Saya telah lama bergelumang dengan dunia kejuruteraan dan jika ada projek besar bernilai jutaan ringgit, pening juga untuk selesaikan. Setelah 15 tahun, saya ambil tindakan nekad berhenti dan jadi petani moden sepenuh masa,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, tapak tanaman yang disewa pada harga RM1,000 sebulan menuntut usaha semaksimum mungkin supaya tidak mendatangkan kerugian.

“Perlu bersungguh-sungguh, jika tidak rugi kerana perlu bayar sewa setiap bulan. Lagipun tanah di negeri Perak ini subur dan kaya dengan nutrien tertentu yang baik untuk pertanian.

“Saya dibantu oleh dua pekerja tempatan dan mampu menjana pendapatan kasar mencecah lima angka sebulan bergantung pada musim,” katanya yang mempunyai empat orang anak.

Rizal berkata, pengalaman dalam bidang kejuruteraan membantunya untuk mempelbagaikan aspek penanaman bendi iaitu di atas tanah, secara fertigasi dan hidroponik, selain membekalkan stok makanan secara konsisten untuk rakyat negeri ini.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Perak kerana memberi bantuan awal berbentuk geran peralatan pertanian, baja dan racun yang boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

“Selain itu, pegawai agensi tersebut sering turun padang untuk memberikan konsultasi selain menjalankan uji kaji makmal sekiranya tanaman bendi bermasalah terutama melibatkan serangan penyakit daripada kulat dan ulat,” katanya.

Ujarnya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) juga pernah menghubunginya untuk memberikan konsultasi selain bantuan geran pada masa depan.

Bantuan tersebut selaras de­ngan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN