
TAPAH – Bantuan berterusan Jabatan Pertanian dan Perikanan Perak menerusi projek pertanian pintar membantu penduduk Kampung Lubuk Mas, Chenderiang di sini menambah sumber pendapatan selain beroleh bekalan sayur dan ikan segar dari kebun.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, merangkap Ketua Kampung Lubuk Mas, Hariffin Abu Hassan Yamani, 46, pihaknya menerima lima set akuaponik berharga RM5,000 setiap satu untuk penanaman sayuran bayam, sawi dan ternakan ikan tilapia yang bersifat mesra alam, mesra bajet serta memiliki nilai komersial tinggi.
“Untuk pusingan pertama tidak lama lagi, hasil sayur-sayuran dan ikan akan diagihkan secara percuma kepada penduduk kampung supaya semua dapat merasa serta membantu perbelanjaan dapur.
“Sebahagian besar mereka ialah golongan B40 dan melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan tidaklah sebanyak mana,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hariffin berkata, bagi pusingan seterusnya, hasil keuntungan akan diagihkan kepada mereka yang terlibat dalam bentuk bonus, selain untuk membantu penduduk kampung yang melanjutkan pengajian di universiti, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan.
“Kita menjangkakan jualan kasar boleh mencecah sehingga lima angka sebulan. Malah, Jabatan Pertanian dan Perikanan Perak sentiasa memantau perkembangan projek supaya terus memberi manfaat kepada penduduk.
“Projek ini menjimatkan kos baja dan makanan kepada ikan, selain membuka peluang pekerjaan untuk penduduk kampung menambah pendapatan. Ada banyak lagi tanah terbiar yang boleh diusahakan,” katanya.
Tambah beliau, projek itu merupakan tarikan terkini di Chenderiang yang terkenal dengan kawasan pelancongan perkelahan air terjun Lata Kinjang dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Ia membolehkan pelancong membeli sayur-sayuran dan ikan tilapia terus dari kebun, selain berpeluang memetik sendiri sayuran dan menangkap ikan.
“Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang dan Majlis Daerah Tapah amat membantu dalam menyediakan infrastruktur seperti jalan, tempat meletak kenderaan, kemudahan utiliti serta promosi,” katanya.
Ujarnya, projek pertanian itu melibatkan ramai golongan belia termasuk ibu tunggal, yang turut melengkapkan mereka dengan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Batang Padang iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara dan Taman Eko-rimba Lata Kinjang dengan tumpuan pertanian serta pelancongan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.














