CAPE CANAVERAL, Florida – Syarikat Blue Origin milik bilionair Jeff Bezos berjaya melancarkan roket New Glenn semalam, membawa dua kapal angkasa berkembar milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk misi ke Marikh.
Syarikat penerokaan angkasa lepas itu milik bilionair Jeff Bezos.
Pelancaran Glenn tertangguh beberapa hari kerana keadaan cuaca di Bumi dan di angkasa lepas tetapi penantian itu berbaloi selepas Blue Origin berjaya mendapatkan kembali penggalak roket untuk kegunaan semula.
Sorakan gembira kedengaran di tapak pelancaran di Cape Canaveral, Florida apabila penggalak itu mendarat di platform terapung. Sebelum ini, hanya roket SpaceX milik Elon Musk berjaya melakukan gerakan sedemikian.
Pencapaian Blue Origin itu berlaku di tengah persaingan sengit antara dua syarikat angkasa swasta milik Bezos dan Musk dengan NASA baru-baru ini membuka bidaan untuk misi ke Bulan.
“Memang mengujakan!” kata Jared Isaacman dalam ucapan tahniah kepada Bllue Origin di laman X. Isaacman ialah sekutu Musk yang baru-baru ini dicalonkan semula oleh Presiden Donald Trump untuk mengetuai NA.
Beberapa tokoh di SpaceX turut memuji pesaing mereka, termasuk Musk sendiri.
“Tahniah @JeffBezos dan pasukan @BlueOrigin!” katanya di laman X.
Roket itu dilancarkan pukul 3.55 petang (waktu tempatan). Glenn setinggi 98 meter itu dalam misi menghantar kapal angkasa kembar ESCAPADE NASA ke Marikh, dalam usaha mengkaji sejarah iklim Planet Merah dengan harapan penerokaan manusia pada masa hadapan. – AFP














