SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana syarikat bas untuk beroperasi dari terminal tertentu sahaja.
Bagaimanapun, Menterinya, Anthony Loke berkata, semua pengendali bas perlu memahami bahawa mereka mesti beroperasi dari terminal yang sesuai, berlesen dan selamat.
“Walaupun definisi ‘terminal’ sebelum ini sangat ketat, kami telah mempermudahkan syarat tersebut supaya lebih banyak lokasi boleh diiktiraf sebagai terminal.
“Adalah tidak benar bahawa kami memaksa semua pengendali menggunakan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) atau Terminal Bersepadu Gombak (TBG) semata-mata. Persepsi itu salah.
“Kami tidak memaksa mana-mana pihak, tetapi kami menegaskan bahawa operasi mesti dijalankan di kawasan yang selamat dan berlesen,” katanya ketika ditemui pada Kongres Keselamatan Jalan (RSC) dan Transport Expo Asia (TXA) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penggantungan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline selama sebulan bermula 6 November hingga 5 Disember ini.
Katanya, pihaknya sedang berusaha mewujudkan lebih banyak terminal di sekitar bandar dengan cara yang selamat dan teratur bagi mengimbangi antara keselamatan dan kemudahan. – KOSMO! ONLINE














