KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau mengelak daripada menjawab soalan yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.
Anwar sebaliknya menegaskan, beliau menjawab semua soalan dikemukakan termasuk yang terbaru berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS)
Bagaimanapun, katanya, terdapat soalan sama yang dibangkitkan oleh pembangkang sedangkan beliau dan menteri terlibat sudah beberapa kali memberi jawapan.
“Soalan yang dibangkitkan semua saya jawab. Kalau soalan saya telah jawab, dua kali dan menteri sudah jawab itu ditanya, kita jawab begitu juga.
“Saya tidak elak, tanyalah soalan. Saya tidak akan elak jawab soalan. Kalau kita sudah jawab, baca sampai peruntukan-peruntukan perjanjian itu. Saya baca di medan ini (Dewan Rakyat),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung waktu pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri.
Beliau mendakwa, soalan daripada pembangkang tidak disenaraikan dalam Aturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat bagi sesi pertanyaan menteri daripada Perdana Menteri.
“Yang Berhormat Putrajaya mengemuka dan memasukkan soalan melalui Yang Berusaha Setiausaha Dewan Rakyat pada 10 November, tapi tak naik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














