fbpx
MOHD. MAHAT

Setahun hilang, Norliah tetap setia tunggu suami pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Biarpun hampir setahun seorang warga emas, Mohd. Mahat Said hilang tanpa jejak, isterinya Norliah Ahmad, 76, tetap setia menanti kepulangan pa­sa­ngannya itu di anjung rumah mereka.

Menurut anaknya, Roslina, 40, setiap hari ibunya akan duduk termenung di anjung rumah se­olah-olah menunggu sesuatu yang tidak pasti.
“Dalam hati kecil, saya tahu ibu masih berharap ayah akan pulang walaupun hanya untuk seketika, begitu juga ahli keluarga yang lain.

“Ibu kadangkala termenung lama. Dia kata teringat bapa, rindu bapa. Biarpun tidak me­ngetahui keberadaan bapa sama ada hidup atau mati, kehilangannya masih menjadi tanda tanya hingga sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, kehilangan bapanya sejak 16 Disember tahun lalu 2024 masih menjadi misteri walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan oleh keluarga untuk menjejakinya.

Katanya, pada hari kejadian, ibunya berniaga nasi lemak di bahagian bawah rumah seperti hari-hari sebelum itu.

“Selepas selepas berniaga, suami saya bantu ibu naik ke atas. Bila pintu dibuka, ayah tidak ada di situ, hanya tinggal kerusi roda.

“Apa yang lebih menghairankan bagaimana bapa boleh hilang begitu sahaja kerana dia tidak mampu berjalan selepas terlibat dalam satu kemalangan pada 2022 dan bergantung sepenuh­nya kepada kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Roslina berkata, mereka sekeluarga percaya bapanya tidak mungkin keluar sendiri atau dibawa sesiapa kerana ibu berada berhampiran rumah sepanjang masa.

Katanya, kalau ada orang datang pasti ibu perasan, tetapi tiada sesiapa pun yang datang ke rumah pada hari tersebut.

Ujarnya, mereka telah membuat laporan polis selepas kehilangan bapanya disedari, namun tiada saksi atau petunjuk baharu diperoleh.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat dilancarkan, namun hasilnya tetap buntu.

Katanya, pencarian turut diperluas ke kawasan sungai berhampiran rumah, tetapi semuanya berakhir tanpa sebarang kesan.

“Kami reda, tetapi dalam hati tetap berharap, biarlah ada tanda-tanda pun jadilah. Asalkan kami tahu di mana ayah berada.

“Bagi keluarga, setiap hari yang berlalu hanyalah tambahan waktu untuk menunggu berita yang belum pasti, menunggu jawapan kepada doa yang tidak pernah berhenti,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Mohd. Mahat diminta menghubungi Roslina di talian 012-603 5785 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN