PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan menampilkan kira-kira 80 peratus muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan dan penetapan calon bagi PRN Sabah kini sudah hampir selesai.
“Saya rasa hampir 80 peratus adalah wajah baru (calon muka baharu),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 di sini, hari ini.
Katanya, perbincangan mengenai calon kini sudah mencapai tahap 95 peratus.
Ditanya sama ada BN Sabah akan bertanding 48 kerusi pada PRN itu nanti, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan mengumumkan perkara itu minggu depan.
“Saya akan umumkan perkara apabila terbang ke Kota Kinabalu, Sabah minggu depan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, BN Sabah berhasrat untuk bertanding di 48 kerusi pada PRN kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sabah disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November. – KOSMO! ONLINE














