PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius dakwaan tular mengenai kuantiti dan kualiti petrol RON95 yang diragui susulan pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) pada 30 September lalu.
Susulan dakwaan itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali mengarahkan supaya tindakan segera dan menyeluruh diambil bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus demi melindungi hak pengguna.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak enam aduan berkaitan kuantiti petrol RON95 kurang, namun tiada aduan rasmi berkaitan isu kualiti.
“Sehubungan itu, pegawai penguatkuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan itu. Antara tindakan yang diambil termasuklah pemeriksaan terhadap pam minyak dan semakan rekod jualan stesen,” katanya.
Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan di bawah bidang kuasa KPDN setakat ini.
“Kementerian ingin menegaskan pelaksanaan Budi95 tidak membabitkan sebarang perubahan kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.
“Bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan dilakukan termasuk mengambil sampel secara rawak dan menguji ketepatan sukatan,” ujarnya.
Azman turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan kesalahan tersebut.
Katanya, syarikat boleh didenda sehingga RM250,000 untuk kesalahan pertama, dan mencecah RM500,0000 bagi kesalahan berikutnya.
“Bagi kesalahan individu, denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya membuat aduan berserta bukti secara rasmi kepada KPDN untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE













