PETALING JAYA – Bank Rakyat melancarkan Pembiayaan Mortgage Suite-i, produk pembiayaan perumahan terbaharu yang menawarkan penyelesaian kewangan holistik dan fleksibel, hari ini di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
Pembiayaan ini menawarkan dua kemudahan utama iaitu pembiayaan baharu dan pembiayaan semula (Pembiayaan Semula Mortgage Suite-i) bagi membantu masyarakat memiliki kediaman lebih mudah serta berpatutan.
Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman berkata, dengan margin pembiayaan sehingga 120 peratus dan kadar keuntungan kompetitif, beliau yakin produk itu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri.
“Menariknya, margin pembiayaan tinggi ini merangkumi kos tambahan seperti pengubahsuaian rumah, pembelian perabot, serta pembiayaan pendidikan.
“Ia sekali gus memberi pelanggan ruang untuk mengurus keperluan kewangan mereka secara menyeluruh dan terancang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Pembiayaan Mortgage Suite-i yang turut diadakan serentak dengan Mini Karnival Rumah Impian.
Karnival dua hari yang berlangsung sejak semalam itu menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran hartanah, peralatan rumah pintar, reka bentuk dalaman dan perabot serta penyediaan trak makanan untuk pengunjung. – KOSMO! ONLINE
 
								
 
								 
											













 
														
