fbpx
AZNAN (tengah) merakam gambar bersama pelajar yang hadir Majlis Penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengah Hari Percuma SPM dan Insentif Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi hari ini. Foto oleh MASTURAH SURADI/KOSMO!

Johor taja makanan tengah hari percuma buat 42,466 calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kerajaan Negeri Johor mengambil inisiatif menaja makan tengah hari kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang menduduki ujian bertulis sepanjang 10 hari peperiksaan berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata, makanan percuma itu melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta yang bakal disalurkan kepada 42,466 calon SPM di seluruh negeri Johor.

Katanya, usaha itu bukan sekadar bantuan semata-mata tetapi sebagai simbol kasih dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan pelajar. “Kita harap kepada semua calon SPM dapat jawab peperiksaan dengan baik dan dapat keputusan dengan cemerlang, supaya membuktikan pendidikan di negeri Johor ini lebih ke hadapan pada masa akan datang.

“Kita juga berharap pada tahun ini akan ada peningkatan dari segi keputusan untuk SPM, contohnya dalam keputusan Gred Purata Nasional (GPN) pelajar paling ramai mendapat gred A.

“Dimana tahun lepas di Johor seramai 1,500 orang pelajar dapat keputusan cemerlang gred A dalam semua subjek. Jadi kami target mungkin tahun ini akan dapat lebih dan kita sasarkan lebih daripada 2,000 orang pelajar dapat gred A untuk semua subjek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kit SPM Maju Johor, Bantuan Makan Tengah Hari Percuma SPM dan Insentif Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi di sini hari ini.

Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berkata, pelancaran kesemua bantuan berkenaan dilakukan secara serentak di 56 DUN seluruh Johor pada pagi ini.

Katanya, kesemua inisiatif ini dilaksanakan bagi memberi suntikan semangat dan sokongan penuh kepada anak-anak Bangsa Johor yang bakal menduduki peperiksaan penting dalam kehidupan mereka.

Menurutnya, melalui keprihatinan kerajaan negeri, sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk Kit SPM Maju Johor manakala bagi pelajar tingkatan enam pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai insentif tingkatan 6 yang memanfaatkan 8,317 pelajar di seluruh Johor.

“Setiap pelajar menerima RM200 bagi membantu mengurangkan beban kewangan dan memberi galakan untuk terus cemerlang di peringkat pengajian tinggi,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI