IPOH – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi jaminan proses pelantikan status tetap 4,500 doktor kerajaan berbanding jawatan kontrak sebelum ini akan diselesaikan dengan segera.
Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, bagi memberi jaminan kepada kesemua warga kerajaan itu, pelantikan telah dimulakan menerusi lantikan secara interim (sementara) sebelum pelantikan tetap sepenuhnya.
“Pelantikan itu sebenarnya telah kita mulakan lebih awal melalui lantikan secara interim. Kini, kita telah melaksanakan pelantikan tetap bagi mereka jadi tidak timbul sebarang masalah dan proses lancar.
“Proses pelantikan ini juga akan diteruskan dan disegerakan sebaik mungkin seperti mana yang disarankan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini hari ini.
Katanya, SPA baru-baru ini telah melaksanakan pelantikan tetap lebih 3,000 jururawat yang melibatkan lantikan baharu dan pengesahan jawatan bagi jururawat yang sebelum ini berstatus interim.
“Tiada tempoh perkhidmatan tetap ditetapkan, justeru mana-mana calon yang memenuhi syarat akan dilantik terus ke jawatan tetap tanpa sebarang halangan.
“Pelantikan sementara (interim) juga akan disusuli dengan pelantikan tetap setelah proses penilaian dan syarat-syarat lain di bawah SPA dipenuhi. Segala tuntutan berkaitan telah dan akan dipenuhi dan mereka yang layak akan menerima jawatan tetap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














