PETALING JAYA – Bekas Pegawai Perubatan Hospital Shah Alam, Muhamad Hazwan Nazri, mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan kebanyakan keju leleh atau keju bancuh yang digunakan dalam makanan sebenarnya bukan diperbuat daripada keju sebenar.
Menerusi perkongsian di TikTok, Hazwan menjelaskan bahan utama dalam keju leleh mempunyai kandungan maltodextrin, sejenis karbohidrat terproses daripada kanji jagung atau ubi yang telah melalui pelbagai prosedur kimia.
“Masalahnya, maltodextrin ni tahap manis dia dua kali ganda daripada gula putih. Gula putih skor 65, tapi maltodextrin 110. Orang yang ada kencing manis, makan benda ni kerap-kerap boleh naik gula dalam darah,” katanya.
Dia turut menegaskan ramai pengguna tidak menyedari kewujudan ‘gula tersembunyi’ dalam makanan moden yang tidak dinyatakan secara terus pada label produk.
“Dia tak tulis ‘sugar’, tapi guna istilah lain. Maltodextrin ni contohnya, lagi teruk daripada gula kalau dimakan berlebihan,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun dinamakan sebagai ‘cheese’ leleh atau ‘cheese’ bancuh, kebanyakan produk itu hanya campuran serbuk keju, bahan pemekat dan perasa tiruan.
Hazwan berkata, tujuannya berkongsi perkara itu bukan untuk menjatuhkan perniagaan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mendidik pengguna agar lebih peka terhadap kandungan makanan yang dimakan.
“Aku bukan nak ganggu bisnes orang kita, lagi-lagi bisnes orang Melayu. Aku sokong, tapi aku nak didik. Sekali-sekala makan tak apa, tapi jangan hari-hari,” ujarnya.
Katanya, keju sebenar mempunyai banyak manfaat untuk tubuh seperti membantu kesihatan jantung dan tekanan darah, tetapi kesan tersebut tidak sama jika diambil daripada bahan tiruan. — KOSMO! ONLINE.














