KUALA NERUS – Seramai lima graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terpaksa melakukan pengorbanan tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen mereka yang dijadualkan pada lusa
ekoran sedang menjalani latihan pegawai kadet di atas kapal dagang antarabangsa.
Kesemua mereka ialah Nur Arisa Qayyum Mohd. Hassan, Siti Nor Faizatun Radzuan, Nurul Asyiqin Ibrahim, Nizdawati Nizam yang masing-masing berusia 23 tahun serta S. Sri Murugan, 26, yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim.
Lima graduan terbabit sedang melengkapkan syarat pelayaran selama setahun yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia bagi memperoleh Sijil Kecekapan Profesional Perkapalan. Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, biarpun kelima-lima graduan tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen, mereka amat dibanggakan kerana bukti kemampuan pelajar UMT bersaing dalam industri maritim global.
“Mereka bukan sekadar pelaut, tetapi juga duta kecil UMT di samudera dunia,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Arisa berkata, pengalaman berdiri di atas dek kapal yang menjulang tinggi di Pelabuhan London, Britain mengajarnya erti sebenar kehidupan seorang pelaut selain menuntut disiplin dan tanggungjawab tinggi setiap hari.
“Pengalaman ini bukan sekadar menguji ketahanan fizikal malah membuktikan wanita juga mampu berdiri sama tinggi dalam dunia perkapalan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE














