fbpx
Mohd Ismail (kanan) diberi penerangan sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Sidang Kemuncak ASEAN : 10,200 anggota dikerah, penugasan terbesar PDRM tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,200 pegawai dan anggota keselamatan dikerahkan bagi memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung minggu ini, menjadikannya penugasan terbesar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM menggerakkan kekuatan pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan unit taktikal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang sidang kemuncak itu.

Katanya, ia termasuk penglibatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Unit Tindakhas, 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan serta Pasukan Gerakan Udara.

“Penugasan menyeluruh itu melibatkan kawasan strategik seperti KLCC, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta hotel rasmi penginapan delegasi antarabangsa.

“Beberapa laluan utama di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan ke KLIA akan terlibat dengan penutupan serta lencongan jalan secara berperingkat mulai 17 hingga 28 Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini hari ini.

Beliau berkata, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Persiaran KLCC serta beberapa lebuh raya utama seperti MEX, Elite, NKVE dan Guthrie.

“Orang ramai dinasihatkan mengelak kawasan pusat bandar tanpa urusan penting, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.

Menurutnya, PDRM menugaskan pasukan khas bagi pemantauan keselamatan siber, kawalan udara dan rondaan di kawasan berisiko tinggi, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi dalam menjamin keselamatan negara sepanjang sidang kemuncak tersebut.

Tambahnya, PDRM menghargai kerjasama erat pelbagai agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Agensi Pengangkutan Awam Darat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI