PROGRAM yang pada asalnya trip mencandat sotong berjalan dengan lancar. Bot kami mula bergerak pada pukul 3.30 petang dan tiba di tempat yang dikatakan ‘kandang’ sotong tiga jam kemudian.
Sebaik tiba, masing-masing menurunkan candat berbagai jenama, saiz dan warna. Pada awalnya, sotong sudi ‘menerkam’ candat, walaupun hari belum gelap lagi. Namun, peratusan sotong yang dinaikkan hanyalah anggaran 15 minit seekor.
Keadaan berlanjutan hinggalah ke malam dan selepas pukul 11 malam kumpulan sotong tiba-tiba menghilang seolah-olah sudah mengetahui candat-candat yang diunjun adalah palsu.
Apabila sudah senyap, akhirnya sotong yang disimpan di dalam tangki simpanan umpan hidup, sedikit demi sedikit dikorbankan sebagai umpan untuk memancing ikan pula.
Kami layan pancing dasar dan dapat beberapa ekor ikan hinggalah stok sotong yang telah dicandat habis kesemuanya dijadikan sebagai umpan.
Keesokan harinya, tekong mengubah lokasi ke kandang sotong yang lain, namun hairan langsung tidak kelihatan kumpulan yang diharapkan, walaupun cuaca dan keadaan air cantik sekali.
Kami berpindah ke beberapa tempat lain, dan keputusannya sama juga.
Tidak ada jalan lain, tekong terpaksa mengubah haluan untuk memancing ikan pula untuk memenuhkan tong yang sepatutnya dipenuhi sotong, ada juga hasil daripada pulang ‘tohong’.
Dalam perjalanan balik, kami sempat singgah di unjam untuk pancing ikan-ikan kecil dengan apollo sebelum bergerak ke jeti tengah hari itu. Apa-apa pun, kami tetap bersyukur, sekurang-kurangnya hasil yang bertukar kepada ikan.















