Nama Jaa Suzuran bukan asing dalam dunia hiburan tempatan. Dikenali sebagai pelakon dan personaliti media sosial dengan gaya bersahaja, jenaka spontannya dekat di hati peminat.
Namun kini, Jaa Suzuran atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 31, tampil dengan sisi berbeza apabila mula berkecimpung dalam dunia permainan video, khususnya Grand Theft Auto (GTA).
Menariknya, penglibatannya bukan sekadar suka-suka.
Dengan personaliti yang menghiburkan dan gaya komunikasi yang mesra, Jaa Suzuran berjaya menarik perhatian komuniti permainan tempatan, menjadikan setiap sesi strimnya sarat dengan gelak tawa dan interaksi real-time bersama pengikutnya.
Berkongsi dengan K-Remaja, jejaka berasal Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia mula membuat sesi siaran langsung atau streaming permainan video (game) sekitar lima tahun lalu.
“Ketika itu yang merupakan fasa awal pandemik, kerjaya sebagai anak seni menjadi perlahan dan saya tidak mempunyai banyak aktiviti yang boleh dibuat.
“Saya pun terlihat beberapa individu yang membuat sesi siaran langsung permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) yang saya nampak cukup menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila melihat banyak aksi tembak-menembak.
“Saya mula membeli PC untuk turut sama bermain game itu, namun selepas seminggu bermain, saya kurang mahir. Setahun kemudian, saya tahu pula tentang game GTA, yang saya sifatkan lebih menarik.
“GTA memberikan saya peluang untuk berlakon, berkarya dan melakukan apa sahaja, namun dalam dunia permainan maya,” katanya membuka bicara.
Ternyata, tindakan bertukar kepada GTA memberikan kepuasan buat Jaa Suzuran, kerana membuka pintu rezeki baharu buatnya dalam dunia penstriman.

Ujar Jaa Suzuran lagi, menerusi permainan GTA, dia juga menggunakan pengalamannya sebagai pelakon dan penyampai radio untuk menghasilkan filemnya sendiri.
“Memandangkan dalam dunia GTA, pemainnya boleh melakukan apa sahaja, maka saya menghasilkan filem dan membuat penstriman langsung.
“Syukur, makin lama ia semakin diterima ramai dan saya kekal aktif sehingga hari ini,” katanya.
Menurut pelakon filem Soloz: Game of Life itu, dia menghasilkan pelbagai watak, antaranya G Rafael yang merupakan watak paling popularnya.
Biarpun dengan kehadiran ramai streamer baharu, kandungan Jaa Suzuran menyerlah, memandangkan kandungan yang dihasilkannya bermutu dan disukai ramai peminat.
“Saya rasa, menerusi sesi penstriman langsung saya, saya mampu memberikan penonton kandungan yang bagus.
“Apabila penonton menonton kandungan saya, ibarat mereka sedang menonton sebuah filem yang bagus, yang mana mereka juga boleh memberikan komen sepanjang sesi tersebut.
“Selain itu, saya juga sentiasa memasukkan unsur jenaka atau punchline ‘B40’ yang mudah diterima penonton,” katanya.
Tidak lokek berkongsi, Jaa Suzuran juga memberitahu dia menghabiskan sekitar RM80,000 bagi membeli peralatan lengkap yang membolehkannya memberikan pengalaman sesi penstriman yang berkualiti tinggi.
Mengulas tentang persepsi negatif yang masih wujud dalam dunia e-sukan, khususnya sebagai streamer sesebuah permainan video, Jaa Suzuran berkata, persepsi tersebut perlu diubah memandangkan sudah ramai anak muda yang kini membina kerjaya dan menjana pendapatan lumayan dengan berkecimpung dalam dunia e-sukan.
“Jika dahulu, ya saya akui ramai ibu bapa yang masih ragu-ragu tentang e-sukan atau bermain game ini boleh jadi satu kerjaya.
“Namun kini, jika kita lihat, sudah ramai streamer yang berjaya dan menjana pendapatan hasil daripada sesi penstriman.
“Begitu pun, saya masih menasihati orang ramai untuk tetap mempunyai backup plan, kerana saya akui kita tidak tahu sampai bila kita masih mampu dan relevan untuk terus menjadi streamer,” katanya.
Mengakhiri bicara, Jaa Suzuran menasihati mereka yang mahu bergelar streamer agar memastikan mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti itu.
“Ini kerana, jika anda bermula tanpa minat dan hanya memikirkan wang, lalu sesi penstriman langsung anda hanya ada seorang penonton, anda akan cepat kecewa.
“Berbeza jika anda mulakan dengan minat, anda pastinya akan betul-betul bersemangat dan bersabar melalui setiap proses sehingga anda berjaya. Selain itu, banyakkan berkawan dan jangan malu untuk bertanya dengan rakan-rakan streamer lain tentang proses mereka,” katanya.














