PETALING JAYA – Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menjalankan penyelenggaraan sistem berjadual bagi meningkatkan keselamatan dan prestasi perkhidmatan selama tiga hari bermula 24 Oktober ini.
Menerusi satu kenyataan, BSN memaklumkan beberapa perkhidmatan akan tergendala buat sementara waktu sehingga 26 Oktober dari pukul 10.45 malam sehingga pukul 6 pagi.
“Perkhidmatan yang akan tergendala membabitkan transaksi kad debit dan kad kredit BSN melalui perbankan internet myBSN dan aplikasi myBSN Mobile, BSNeBiz, mesin pengeluaran automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan mesin kitar semula tunai (CRM).
“Turut terjejas pembelian dalam talian yang memerlukan kelulusan bayaran melalui enam digit nombor PIN, semua transaksi kad debit BSN termasuk di ejen bank, transaksi kad kredit BSN melalui DuitNow, serta perkhidmatan kad dan akaun melalui perbankan internet myBSN dan aplikasi myBSN Mobile dan BSNeBiz,” kata BSN hari ini.
Bagaimanapun BSN memberitahu, pada 25 dan 26 Oktober bermula pukul 12 tengah malam hingga 6.30 pagi, perkhidmatan tergendala hanya membabitkan perbankan internet myBSNaplikasi myBSN Mobile dan BSNeBiz (DuitNow, JomPAY dan FPX).
Mengulas lanjut, bank tersebut berkata, transaksi kad kredit BSN di mesin pembayaran di kedai atau premis tidak terjejas dan berfungsi seperti biasa.
“Kami faham kepentingan akses tanpa gangguan. Untuk kelancaran urusan anda, sila rancang dan selesaikan transaksi penting lebih awal sebelum tempoh penyelenggaraan bermula.
“Terima kasih atas kesabaran dan kefahaman anda,” ujar BSN. – KOSMO! ONLINE
https://www.facebook.com/share/p/1C1ZzFr4L4/














