KUALA LUMPUR – SugarBun Corporation Berhad (SugarBun) bercadang melabur sehingga RM42 juta untuk meluaskan penguasaan pasarannya ke Semenanjung Malaysia dengan membuka 42 cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan Borneo Oil Berhad (BornOil), Datuk Joseph Ambrose Lee berkata, untuk fasa pertama, syarikat itu akan membuka tiga outlet menjelang suku pertama tahun ini yang mana setiap outlet diperuntukkan kos kira-kira sebanyak RM1 juta.
BornOil adalah syarikat induk bagi Sugarbun yang mana syarikat tersebut telah ditubuhkan sejak 46 tahun lalu yang telah berkembang secara organik di Malaysia Timur dengan memiliki lebih daripada 104 cawangan di sana termasuk di Brunei.
Menurut Joseph, cawangan terbaharu itu akan beroperasi melalui konsep SugarBun Express yang mana syarikat telahpun mengenal pasti lokasi yang bersesuaian di Lembah Klang pada peringkat awal untuk proses perancangan seterusnya selain mendapat kelulusan daripada pihak lembaga pengarah.
Menurut beliau, bagi merealisasikan pelan pengembangan tersebut, SugarBun telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Sedaplycious Sdn. Bhd. (Sedaplycious) untuk mengoperasikan semua rangkaian berkenaan selain mengukuhkan jenamanya sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Selepas 46 tahun kami bertapak kukuh di pasaran Sabah dan Sarawak, kini kami mula mengembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia kerana kami telah bertemu dengan syarikat yang dikendalikan oleh usahawan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian antara dua syarikat tersebut yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengasas dan Principal Sedaplycious, Leong Kah Meng.
Lee menjelaskan, SugarBun akan membawa hidangan ikoniknya seperti Ayam Broasted, Nasi Savoury dan makanan kegemaran Malaysia Timur sambil mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasakan pembekal tempatan dan membuka peluang francais kepada usahawan.
Selain itu, dalam majlis tersebut, Sabacco, Sos Cili Halia Liar Tuhau, iaitu sos unik daripada warisan Kadazan-Dusun di Sabah yang mencerminkan kepelbagaian biodiversiti Borneo turut dilancarkan. -KOSMO! ONLINE