fbpx
ADNAN MAT (tengah) bersama Sivanesan menyertai Program Fun Run AUEGCAS Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh hari ini.

Kenaikan gaji tahunan pembantu tadbir perlu dinilai semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kerajaan diminta menilai semula kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Skim Pembantu Tadbir di seluruh negara bagi memastikan ia setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul penjawat awam dalam kumpulan berkenaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, penilaian semula itu wajar dilakukan memandangkan golongan berkenaan kini melaksanakan tugas yang jauh melangkaui skop fungsi asal sebagai pembantu tadbir.

Katanya, ketika ini ramai dalam kalangan pembantu tadbir memiliki kelayakan akademik lebih tinggi termasuk diploma dan ijazah, malah ada yang mempunyai kelulusan sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Walaupun skim ini menetapkan kelayakan masuk minimum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun kebanyakan penjawat awam dalam skim ini, kini memiliki kelayakan yang jauh lebih tinggi. Mereka telah memanfaatkan kepakaran serta kelayakan tersebut dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya pada Program Fun Run Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Adnan berkata, semakan semula KGT bagi Skim Pembantu Tadbir tidak melibatkan implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

“Bagi kami, cadangan ini tidak memberi kesan ketara dari segi kewangan kerana gaji mereka ketika ini setara dengan kadar semasa. Perbezaannya hanyalah pada kadar KGT yang meningkat daripada RM100 kepada RM145 iaitu tambahan sebanyak RM45 bagi setiap pembantu tadbir yang dinaikkan ke gred N5.

“Permohonan semakan ini juga bukan perkara baharu kerana kami telah memperjuangkannya sejak tahun 1992,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI