fbpx
Gambar hiasan.

Anggota FRU, empat warga India didakwa perdagang tujuh wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersama empat individu warganegara India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan tujuh individu bagi tujuan eksploitasi seksual secara paksa, bulan lalu.

Koperal S. Kobinath, 34, bersama seorang lelaki, Mathan, 21 dan tiga wanita, Thanaletchumy, 57; Vasanthy Shanmukham, 44; dan Muniswary, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa memperdagangkan tujuh wanita yang juga warga India berusia antara 30 hingga 40 tahun pada pukul 1 pagi, 30 September lalu di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Semua mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai dibawa masuk ke negara ini untuk tujuan eksploitasi seksual secara paksa.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Habibullah Mohammad Shah mencadangkan Kobinath diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

“Pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada empat lagi tertuduh dengan mengambil kira mereka merupakan warga asing,” katanya.

Bagaimanapun, peguam P. Muniswer yang mewakili Kobinath, memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya, yang juga seorang penjawat awam perlu menanggung ibu berusia 68 tahun yang uzur dan bapa berusia 75 tahun yang menghidap penyakit jantung.

Sementara itu, peguam R.M. Muniandy dan A.G. Kalidas yang mewakili Thanaletchumy turut merayu agar anak guam mereka diberi jaminan pada kadar lebih rendah dengan alasan tertuduh menghidap vertigo, sakit belakang (slip disc) dan darah tinggi.

Dalam pada itu, peguam Erickka Farrise Amir yang mewakili Vasanthy dan Mathan turut memohon jaminan dengan alasan kedua-dua anak guamnya berjanji akan hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding.

“Mathan menghadapi pertuduhan lain, maka buat masa ini saya hanya akan merayu bagi pihak Vasanthy,” katanya.

Tertuduh Muniswary yang tidak diwakili peguam, memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua ahli keluarganya berada di India dan dia kini menetap bersama rakan-rakan di negara ini.

Selepas mendengar hujahan daripada semua pihak, Hakim Azura Alwi membenarkan Kobinath diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan Thanaletchumy dan Vasanthy diikat jamin masing-masing sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin, mengambil kira mereka merupakan warga asing.

Sementara itu, Mathan dan Muniswary tidak dibenarkan diikat jamin kecuali jika terdapat keadaan khas yang mewajarkan pertimbangan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN