BANGKOK – Seorang pekerja bar di Thailand menerima pujian ramai apabila mengembalikan sebuah beg berisi wang tunai berjumlah kira-kira AUD$9,700 (RM26,600) milik seorang rakyat Australia yang ditinggalkan secara tidak sengaja, lapor akhbar Metro UK.
Chomnad Singaod, 42, menemui beg itu di hadapan premis di Pattaya itu pada awal pagi semasa mahu pulang ke rumah.
Chomnad menyangka beg tersebut dimiliki oleh rakan sekerjanya, namun dia terkejut selepas mendapati sejumlah mata wang asing, kad kredit dan pasport berada di dalamnya.
Dia kemudian membawa beg itu ke pejabat sebelum memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Rakaman video menunjukkan pemilik beg, Shahre Steven Mark, 48, berhenti untuk berehat sebelum meninggalkan bar tanpa membawa barangnya.
“Jumlahnya agak banyak, jadi saya mengambil video sebagai bukti untuk melindungi diri saya. Saya tidak mahu sesiapa menuduh saya mengambil wang itu.
“Ia lebih banyak daripada wang yang saya pernah miliki di dalam akaun bank sendiri. Saya boleh berhenti bekerja dan berehat sepanjang tahun tetapi itu adalah salah dan akan menjadi karma,” kata Chomnad.
Dia segera menyerahkan beg itu ke balai polis berhampiran.
Polis masih mencari pemiliknya dan menggesa orang ramai atau Mark untuk menghubungi mereka. – AGENSI