PETALING JAYA – Inisiatif Program Budi Madani RON95 (Budi95) yang berkuat kuasa sepenuhnya sejak 30 September lalu merupakan langkah baharu kerajaan dalam melaksanakan subsidi petrol bersasar bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Melalui pelaksanaan program ini, subsidi petrol RON95 hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, sekali gus mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak sepatutnya.
Program ini juga dilihat sebagai usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping memastikan pengurusan fiskal negara lebih mampan melalui penyaluran subsidi yang lebih adil, tepat dan berkesan.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program Budi95 mencerminkan semangat ‘tiada siapa tertinggal’ dengan memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang menerima manfaat secara adil dan bersasar.
Beliau menyifatkan langkah yang dibuat Kerajaan Madani ini memberi manfaat besar buat rakyat khususnya golongan B40 dan M40, selain memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Jika dalam sesebuah isi rumah terdapat suami isteri yang memiliki lesen memandu dan MyKad, mereka boleh menikmati subsidi petrol sehingga 600 liter sebulan pada harga RM1.99. Ini akan meringankan beban kewangan bulanan keluarga B40 dan M40,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, penjimatan subsidi dianggarkan RM8 bilion setahun hasil penyasaran semula ini boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh bantuan sosial sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Menurut Ahmed Razman, langkah ini juga berpotensi meningkatkan kuasa beli pengguna dan seterusnya merangsang aktiviti ekonomi domestik apabila rakyat mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan.
“Apabila rakyat mempunyai kuasa beli, ekonomi dalaman akan berputar.
“Peniaga kecil mendapat manfaat, peruncit tempatan berkembang dan akhirnya kerajaan memperoleh pulangan melalui cukai serta pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang lebih kukuh,” jelasnya.
mengenai kebimbangan terhadap inflasi, beliau menegaskan kadar inflasi dijangka kekal terkawal dengan penguatkuasaan berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kesan negatif kenaikan inflasi dijangka minimum kerana syarikat besar tidak lagi menikmati subsidi. Harga barang dijangka kekal stabil kerana KPDN akan memantau rapat harga barangan di pasaran,” katanya.
Menyentuh sektor pengangkutan dan logistik, Ahmed Razman menjelaskan bahawa meskipun terdapat segelintir pemain industri yang mungkin terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi memastikan kestabilan kos operasi sektor berkenaan.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa petrol RON95 akan terus dijual pada kadar bersubsidi RM2.05 seliter bagi kenderaan komersial yang layak, melibatkan sembilan kategori pengangkutan awam dan 12 sektor logistik melalui pengguna fleet card dalam rangka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Beliau berkata, kadar itu adalah enam sen lebih tinggi berbanding harga untuk pengguna awam iaitu RM1.99 seliter, namun masih jauh lebih rendah berbanding harga pasaran tanpa subsidi.
Dari sudut makro ekonomi, beliau menjelaskan keputusan kerajaan ini memberikan isyarat positif kepada pelabur asing, kerana ia menunjukkan kesungguhan kerajaan menyeimbangkan antara kebajikan rakyat dan kestabilan fiskal negara.
“Pelabur melihat kestabilan dasar fiskal sebagai tanda kematangan ekonomi. Ia memberi keyakinan bahawa Malaysia komited terhadap reformasi struktur tanpa mengabaikan kesejahteraan sosial,” jelasnya.
Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal positif tahun ini hasil gabungan pelaksanaan Budi95 dan penurunan harga bahan api yang meningkatkan aktiviti perdagangan, pelancongan dan pasaran domestik.
Ahmed Razman turut menekankan keperluan kerajaan dalam memastikan subsidi bahan api dalam negara kekal mampan.
“Kerajaan boleh mengekalkan harga RON95 pada tahap mampu milik dengan meningkatkan hasil negara agar subsidi Budi95 dapat dikekalkan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal. Strategi jangka panjang mestilah memastikan bantuan ini disasarkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambahnya, langkah penyasaran subsidi Budi95 ini sekali gus menandakan usaha kerajaan menyeimbangkan keperluan rakyat dengan pengurusan fiskal negara selain memastikan setiap ringgit subsidi dimanfaatkan secara optimum. – KOSMO! ONLINE