PETALING JAYA – Lebih 52,000 kes jenayah komersil dilaporkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dengan kerugian mencecah RM3.6 bilion.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, meskipun dalam tempoh kurang setahun, kes jenayah komersil menyaksikan peningkatan sebanyak 81.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian termasuk ‘love scam’ dan pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan lumayan, memanipulasi emosi dan harapan, menyumbang 80 peratus daripada kes jenayah komersil yang dilaporkan.
“Dari Januari hingga September ini, terdapat lebih 47,000 kes dengan kerugian sebanyak RM2 bilion, meningkat 94 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini.
Mohd. Khalid berkata, kerajaan memandang serius jenayah komersil yang semakin membimbangkan dan kepercayaan diberikan kepada PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk menerajui National Scam Response Center (NSRC).
“Sejak penubuhan pada 12 Oktober 2022 hingga 30 September lalu, NSRC menerima lebih 266,000 panggilan, termasuk 160,000 panggilan dianggap ‘genuine case’ (kes benar), yang memenuhi kriteria untuk tindakan lanjut.
“Lebih 115,000 panggilan ‘general case’, iaitu panggilan umum seperti pemberian nasihat pencegahan atau berkaitan kes lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan operasi secara berterusan diharap mampu memangkin tindakan pencegahan jenayah komersil secara cekap dan efektif demi keberhasilan yang berterusan.
“JSJK juga kekal komited membanteras jenayah komersil apabila berjaya menahan seramai hampir 21,000 individu atas pelbagai kesalahan jenayah sejak Januari hingga September 2025.
“Lebih 14,000 aktiviti pencegahan menerusi pameran, ceramah dan kolaborasi strategik bersama media turut konsisten digerakkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE