fbpx
ROBOT anjing Unitree B2 telah berkhidmat secara efektif dengan beberapa pasukan bomba di China.

Bomba China guna robot anjing padam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, barisan hadapan keselamatan awam juga sudah melangkah setapak ke hadapan dengan memanfaatkan kemajuan dunia robotik.

China terus membuktikan kemajuan luar biasa dalam bidang berkenaan dengan memperkenalkan Unitree B2 iaitu robot anjing berkaki empat yang direka khas untuk operasi pemadaman kebakaran dan misi menyelamat.

Diperkenalkan oleh syarikat Unitree Robotics yang berpangkalan di Hangzhou, robot itu bukan lagi sekadar prototaip di makmal, sebaliknya kini telah berkhidmat secara aktif dalam pasukan bomba di beberapa bandar di China termasuk Qingdao.

Menurut jurucakap Unitree Robotics, robot anjing pemadam kebakaran ialah mesin tanpa pemandu berkaki empat. Ia direka bentuk untuk beroperasi dalam persekitaran melampau yang boleh menyebabkan anggota bomba menghadapi risiko maut.

“Ia menyerupai robot logam yang lengkap dengan kaki diartikulasikan, penderia terbina dalam dan alatan khusus misi.

“Robot ini dibangunkan pada platform robotik Unitree yang sedia ada seperti model B1 dan Go1. Anjing robot ini adalah versi dipertingkat yang direka untuk bertahan dan beraksi di zon kebakaran,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, Unitree B2 versi pemadam kebakaran bukan sekadar alat demonstrasi tetapi sebuah sistem yang benar-benar direka untuk beroperasi dalam situasi ekstrem.

Antara ciri utama yang menjadikan ia unik adalah meriam air berkuasa tinggi dengan pancutan air mampu mencapai jarak sehingga 60 meter dan kadar aliran kira-kira 40 liter sesaat.

Ini membolehkan robot menembak air dari jarak selamat tanpa memerlukan kehadiran manusia di zon berisiko tinggi.

Dengan dilengkapi empat kaki berteknologi hidraulik, Unitree B2 mampu mendaki tangga, melalui kawasan berbatu atau tidak rata serta menyeimbangkan badan di permukaan curam setinggi 40 sentimeter.

Baterinya juga boleh ditukar (hot-swappable) bagi membolehkan beroperasi dalam jangka masa panjang tanpa perlu dimatikan untuk dicas semula.

Robot anjing itu juga dilengkapi kamera 360 darjah, sensor serta sistem kawalan jauh industri untuk pemantauan masa nyata dan komunikasi dengan pusat kawalan.

“Setakat ini, dua unit Unitree B2 telah digunakan oleh pasukan bomba di Qingdao dalam operasi latihan dan misi sebenar.

“Pencapaian ini menjadikannya antara robot pertama yang benar-benar diintegrasikan ke dalam perkhidmatan kecemasan di China,” ujarnya.

Menurut syarikat itu, robot Unitree B2 bukan sekadar digunakan dalam satu situasi, malah telah diuji dalam pelbagai bentuk operasi yang menuntut daya tahan dan kecerdasan buatan (AI) tinggi.

Misalnya dalam kebakaran di kawasan perniagaan bawah tanah atau gudang tertutup, Unitree B2 boleh dihantar lebih awal untuk melakukan tinjauan awal.

Robot tersebut boleh memetakan kawasan dalam bangunan, mengenal pasti punca api, mengesan asap beracun dan memberi maklumat kepada pasukan penyelamat sebelum memasuki kawasan itu.

“Dalam kebakaran hutan, Unitree B2 berperanan sebagai unit pemantau dan kawalan awal.

ROBOT bomba berbentuk anjing ini boleh mengeluarkan pancutan air yang mampu mencapai jarak sehingga 60 meter.

Ia dapat bergerak di kawasan berbukit, memeriksa sisa bara serta membantu mengesan kemungkinan api marak semula selepas kebakaran dipadamkan.

“Di kawasan seperti Gunung Tai, robot ini diuji untuk membawa muatan sehingga 40 kilogram merentasi laluan curam dan licin.

“Ini membuka potensi baharu dalam logistik kecemasan, penghantaran peralatan dan kerja-kerja berat di kawasan yang mustahil dicapai oleh kenderaan atau manusia,” kongsinya.

Kehadiran anjing robot pemadam kebakaran seperti Unitree B2 membawa pelbagai manfaat besar, namun turut disertai beberapa cabaran dan persoalan.

Antara kelebihannya, robot itu mampu mengurangkan risiko terhadap nyawa manusia terutama di kawasan berbahaya seperti bangunan runtuh atau tempat berasap tebal.

Ia juga boleh beroperasi lebih lama kerana baterinya boleh ditukar serta sistem yang stabil, biarpun di persekitaran ekstrem.

Dengan sensor pintar serta kamera pelbagai arah, robot itu mampu memberi maklumat masa nyata kepada pusat kawalan untuk membuat keputusan pantas dan tepat.

Cabaran pula hadir dari segi kos dan penyelenggaraan. Unitree Robotics belum mengumumkan harga rasmi bagi model B2 Firefighting.

Memandangkan ia dilengkapi peralatan canggih dan sistem hidraulik kompleks, harganya dijangka tinggi.

Tambahan pula, operasi di kawasan panas atau berasap tebal boleh menyebabkan haus pada sendi mekanikal dan sensor.

Selain itu, tahap autonomi robot masih terhad. Banyak operasi memerlukan kawalan manual oleh operator manusia.

Teknologi AI sepenuhnya bagi membuat keputusan sendiri dalam keadaan dinamik seperti runtuhan bangunan atau perubahan arah api masih dalam kajian lanjut.

Isu lain termasuklah soal keselamatan data dan privasi kerana Unitree B2 dilengkapi kamera berkuasa tinggi yang merakam kawasan awam.

Dalam konteks undang-undang, timbul persoalan tentang tanggungjawab sekiranya berlaku kecederaan atau kerosakan akibat keputusan robot di lapangan.

Namun begitu, kemasukan Unitree B2 dalam pasukan bomba China menandakan satu era baharu dalam integrasi robotik awam.

Ia bukan sekadar inovasi kejuruteraan tetapi satu perubahan cara manusia dan mesin bekerjasama untuk menyelamat nyawa.

Syarikat tersebut turut menyatakan, robot seperti Unitree B2 berpotensi merevolusikan operasi kecemasan daripada peninjauan awal, logistik sehinggalah pemadaman sebenar.

“Dalam jangka panjang, teknologi ini boleh diperluas ke bidang lain seperti penyelamatan bawah tanah, kawasan gempa bumi atau bencana industri kimia.

“China kini berada di barisan hadapan dalam membangunkan robot praktikal untuk kegunaan awam, malah negara ini boleh muncul sebagai pusat eksport robot kecemasan dunia,” katanya.

Pada masa depan, Unitree Robotics bakal mengeluarkan lebih banyak versi robot baharu yang ringan, pintar dan autonomi, selain boleh bekerjasama dengan dron udara dalam sistem penyelamatan bersepadu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN