SHAH ALAM – Kebolosan di sempadan darat dan laut kekal menjadi faktor utama menyebabkan dadah terus memasuki negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kebanyakan dadah itu dibawa ke negara ini menerusi negara di Utara Semenanjung.
Katanya, faktor geografi dari segi keluasan kawasan sempadan darat dan laut menyebabkan sindiket-sindiket ini masih boleh bolos daripada kawalan pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi lain yang bertanggungjawab menjaga sempadan negara.
“Walaupun ada banyak serbuan
tetapi dadah-dadah ni masih juga bolos dibawa masuk ke negara ni yang dipercayai dibawa masuk daripada negara utara Malaysia.
“Antara sebabnya adalah kebolosan di sempadan sama ada darat mahupun laut yang mana kita semua sedia maklum ini adalah isu kita daripada dulu sampai sekarang,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan modus operandi dan sindiket yang berjaya ditumpaskan setakat Januari lalu.
Menurut Hussein, usaha pemutusan rangkaian juga dilihat sukar apabila permintaan terhadap dadah ini begitu tinggi di negara ini dan beberapa negara jiran.
“Ini menyebabkan punca sindiket tidak pernah berputus asa ( dalam pengedaran dadah ini),” tegasnya.
Bagaimanapun tegasnya, JSJN akan terus melipatganda usaha dalam menangkap mereka yang terlibat dalam sindiket ini.
“Ia bukan sahaja di peringkat koordinator atau transporter namun akan kesan sehingga peringkat lebih atas,” katanya. – KOSMO! ONLINE