PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza seolah-olah memberi bayangan bahawa bahawa unsur luar yang mengganggu tumpuan dan kondisi anak saudaranya, Amad Dayyan sehingga tempat keenam di Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) malam tadi.
Bukan itu sahaja, Amad yang disebut-sebut sebagai calon juara itu juga gagal melakukan persembahan dengan baik bahkan rebah dan pengsan usai semasa persembahan. Dia dipercayai berdepan kesukaran menyanyi dan bergelut dengan kesakitan yang tidak boleh dipastikan buat masa ini.
Menurut Siti, apa yang berlaku kepada Amad adalah takdir, namun dalam masa sama menyangkal semua spekulasi negatif netizen terhadap anak kedua adiknya, juga penyanyi Siti Saerah itu.
“Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat dan fit untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari persembahan Grand Finale.
“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang berlaku, bukan faktor kesihatan, kesan dari komen-komen atau penat tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan kita. Ada hal-hal luar dugaan, hal-hal tak masuk di akal tetapi itulah hakikatnya.
“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku. Untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu,” tulisnya dalam satu perkongsian video sesi latihan Amad bersama Nadeera dalam akaun Instagram.
Kongsi penyanyi nombor satu negara itu lagi, adik Amad iaitu Aisy turut terkena tempias dengan apa yang berlaku semalam.
“Begitulah, setiap kita ada cabaran, ini kan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas. Malah malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tetapi adik Amad, Aisy juga terkena tempiasnya.
“Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” tulisnya.
Terdahulu semalam Amad tiba-tiba rebah sebelum membuat persembahan di konsert Grand Finale TTMM. Dia kemudian dibawa ke belakang pentas sebelum muncul semula untuk membuat persembahan.
Selepas bergelut membuat persembahan secara solo dan duet, Amad akhirnya pengsan dan dibawa keluar dari pentas. Amad dan ibunya Siti Saerah akhirnya terpaksa pulang sebagai peserta tercorot berada di tempat keenam program berkenaan. – KOSMO ONLINE.