fbpx
Norliza

Belanjawan 2026 bawa nafas baharu agenda pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Belanjawan 2026 memberi nafas baharu kepada agenda pendidikan negara apabila inisiatif baharu yang diumumkan dilihat mampu meringankan beban pelajar serta menjamin kelestarian dana pendidikan tinggi.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata langkah-langkah yang diumumkan mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pendidikan negara.

Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah pemberian pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Mulai tahun 2026, pinjaman PTPTN kepada pelajar daripada keluarga dalam senarai e-Kasih akan ditukar kepada biasiswa penuh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan serta memberi peluang kepada mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar cemerlang turut diberi pengiktirafan apabila mereka yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA akan menerima pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, khusus bagi peminjam dalam kategori B40 dan M40.

Norliza berkata, langkah itu bukan sahaja menghargai kecemerlangan akademik malah menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai prestasi tinggi dalam bidang masing-masing.

Katanya, kerajaan turut menitikberatkan aspek kelestarian dana PTPTN supaya generasi masa depan terus menikmati kemudahan pinjaman pendidikan.

“PTPTN merupakan dana pusingan yang perlu dilunaskan semula bagi memastikan manfaat ini berterusan kepada peminjam baharu. Justeru, sekatan perjalanan ke luar negara akan dilaksanakan secara bersasar terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan,” jelasnya.

Tambah Norliza, perincian lanjut pelaksanaan inisiatif tersebut akan diumumkan PTPTN dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI